|
|
Sebenarnya aku agak sibuk sekarang ni. Tapi aku masih nak isi sesuatu kat dalam blog ni. Jadi, aku cadang nak isi ucapan terakhir aku hari tu waktu Mesyuarat Agung Batch JUST08.
Siapa nak ambik pengajaran ke,manfaat ke, ambiklah. Ucapan aku ni biasa-biasa je. Takde apa-apa pun. Terimalah ucapan yang tak seberapa dari seorang manusia yang tak mulia ni.
"Segala puji bagi Allah yang mengumpulkan kita dalam keadaan aman, yang mengekalkan kita dalam keadaan beriman, yang menggolongkan kita dalam umat bertuah sepanjang zaman.
Terima kasih kepada Pengerusi Majlis.
Sesungguhnya saya ditakdirkan berdiri di sini di hujung usia sebagai pemimpin. Sekali lagi dan selama-lamanya saya tekankan bahawa saya bukanlah yang terbaik di kalangan kalian. Namun, saya berdiri di depan bukanlah atas dasar kemuliaan, tapi atas dasar tanggungjawab dan bebanan.
Mahasiswa JUST08 sekalian,
Interaksi, integrasi dan ukhuwwah adalah 3 perkara yang nampak sama tapi tidak serupa.
Dalam kita berinteraksi terutama antara yang punya nama bin dan binti, sahabat-sahabat, berhati-hatilah dengan bicara hati. Kerana hati adalah satu ciptaan yang penuh dengan perasaan. Hati juga bisa jadi permeable dengan toxic substance daripada syaitan. Ingat, mencegah itu jauh lebih selamat dan lebih baik daripada merawat.
Ukhuwwah itu pula adalah persaudaraan. namun, persaudaraan bukan hanya tika menikmati kemewahan, tapi persaudaraan juga perlu terikat kukuh ketika mehnah mencengkam kehidupan. Berapa ramai di kalangan kita yang berada di sisi sahabatnya tika dia memerlukan tangan untuk digapai? Berapa ramai di antara kita yang berada di sisi sahabatnya tika dia tak mampu berhadapan dengan ujian?
Sahabat-sahabat,
Dekat dengan Tuhan bukan satu pilihan. Tapi satu kemestian dan satu keperluan. Kekuatan rohani itu perlu menjadi tunjang kita, apatah lagi yang bergelar doktor, yang hari kerja dan hari belajarnya dihabiskan dengan mengagumi kekuasaan Tuhan dalam tubuh seorang insan.
Seorang doktor itu, jalannya untuk memahami nikmat Tuhan terbentang luas, kerana dia lebih memahami nikmat tubuh badan berbanding masyarakat di sekelilingnya. Rugilah seorang doktor yang punya jalan luas untuk kagum nikmat, menyempitkan jalan syukur untuk gapai rahmat. Maka, apakah mengenal Tuhan itu masih menjadi sampingan?
Sahabat-sahabat,
Tujuan utama dan prioriti pertama kita adalah akademik. Namun akademik itu lebih cantik lagi kalau dihias dengan kemahiran dan peluang di sekeliling kita. Akademik itu yang pertama tapi akadmeik bukan segala-galanya. Akademik itu survival kita di sini, namun nilai tambah itu tak sepatutnya menjadi racun kepada akademik, namun sepatutnya menjadi nutrisi dalam kehidupan kita di sini. Yang paling penting, semuanya bermula dari diri sendiri.
Hidup sebagai perantau, cabaran dan ujian itu menanti. Cabaran kesusahan dan penderitaan itu satu penyeksaan. Tapi cabaran kesenangan dan kemewahan itu lebih berbisa. Kerana kemewahan bisa mengubah manusia, daripada syukur kepada kufur boleh jadi sekelip mata. Sebab itu sahabat-sahabat, dalam kemewahan yang kita miliki, bersyukurlah, tunaikanlah tanggungjawab daripada harta kita, dan jagalah hati sahabat-sahabat yang lain yang tidak direzkikan seperti kita.
Buat akhirnya,
Jutaan penghargaan saya ucapkan kepada sahabat-sahabat kepemimpinan yang saya kira, kata-kata penghargaan sahaja tak mampu membalas budi mereka.
Sahabat-sahabat,
Dalam hidup ini, peluang tak datang seiring dengan kesempatan. Kadang-kadang kita punya bertahun-tahun lamanya kesempatan, tapi tiada satu pun peluang yang lalu di depan kita. Kadang-kadang banyak peluang melintasi depan mata kita, tapi sedetik pun kita tidak punya kesempatan. Oleh itu, rebutlah peluang tika masih ada kesempatan, kerana anda mahasiswa, anda yang membuat pilihan!
Sekian,
Assalamualaikum."
Categories: pelajar dan remaja
The words you entered did not match the given text. Please try again.
Oops!
Oops, you forgot something.