Posted by warkahskrin
at 11:27 AM on September 08, 2009
|
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
Dalam bas itu, ada dua tempat kosong.
Satu sebelah kanan bas, satu sebelah kiri bas.
Dua-dua tempat kosong itu, di sebelahnya adalah seorang lelaki.
Tiba-tiba,datang seorang wanita masuk ke dalam bas. Didapatinya tiada tempat kosong lain melainkan di sebelah kedua-dua belah lelaki.
Andai anda salah seorang lelaki tersebut, mampukah anda bingkas bangun dan menukar tempat duduk di sebelah satu lagi lelaki untuk memberi tempat duduk kepada wanita tersebut?
Atau hanya membiarkan sahaja wanita tersebut duduk di sebelah anda atau seorang lagi lelaki?
Situasi seterusnya,
Dalam komuter, tempat duduk penuh.
Mujurlah anda masuk lebih awal, anda mendapat tempat duduk.
Tiba-tiba datang seorang makcik dengan anaknya yang OKU mencari-cari tempat duduk. Akhirnya, mereka terpaksa berdiri.
Apa yang anda ingin lakukan?
Berikan tempat duduk kepada makcik tersebut dan anaknya walaupun perjalanan anda setengah jam lagi untuk sampai?
Atau buat-buat tak nampak kepada makcik tersebut dan meneruskan melabuh punggung anda atas kerusi komuter?
Seperkara yang saya suka tentang suasana di Jordan ialah wanita di sana mendapat tempat istimewa dalam beberapa perkara.
Tempat makan di restoran sehinggalah tempat duduk di dalam bas. Jika ada wanita yang akan menaiki bas, konduktor akan menyuruh mana-mana lelaki yang duduk berasingan untuk duduk sekali supaya memberikan tempat kepada wanita tersebut dan tidak membiarkan wanita tersebut duduk bersebelahan dengan lelaki.
Di Malaysia, kita masih kurang peka tentang keutamaan memberi tempat duduk dalam pengangkutan awam. Lebih teruk, kita hanya buat tak tahu, terus bersembang dengan rakan kita tanpa memberikan ruang kepada mereka yang lebih memerlukan.
Perkara sekecil-kecil ini, besar impaknya kepada imej dan peribadi seseorang itu, apatah lagi yang bergelar sebagai muslim.
Islam mengajar kita menghormati yang tua, menyayangi yang muda. Al-Quran memerintahkan agar mengutamakan yang kurang berkemampuan.
Namun,kadang-kadang manusia yang bergelar sebagai muslim ini hanya mempedulikan perkara-perkara besar tanpa mengaplikasikan akhlak-akhlak kecil yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Cuba kita renungkan kembali, agak-agaknya berapa ramaikah saudara baru Islam kita memilih jalan Islam kerana terpesona dengan akhlak individu muslim yang kita pamerkan?
Maha suci Allah, Islam itu mulia dengan sendirinya, dan Islam itu benar dan tulen. Mereka memilih jalan Islam kerana Islam itu sendiri. Jika hendak diharapkan dengan akhlak kita, berapa ramai sangat akhlak muslim di Malaysia yang mempesonakan dan berapa ramai sangat orang yang akan terpesona?
Bukanlah hendak mengatakan bahawa sepatutnya masuk Islam kerana akhlak mulia kita semata-mata. Bukan juga hendak mengatakan bahawa akhlak dipamerkanuntuk manusia terpesona.
Tapi biarlah akhlak mulia kita menjadi pintu kepada jalan Islam, malah akhlak mulia itu adalah suatu tuntutan. Jadi mengapa kita tinggalkan?
Fikir-fikirlah sendiri.
Allah Maha Mengetahui.
Categories: tempatan , isu umum



asrulhadi says...
mashaALLAH! moga ALLAH bukakn pintu hidayat kpd kita smua...amin!