Posted by warkahskrin
at 11:35 AM on August 29, 2009
|
Dalam hati yang gusar itu, aku cuba menenangkan diri.
Menarik nafas dalam-dalam.
Aku cuba memberitahu perkara sebenar kepada pemuda sebelah aku tadi.
"Sebenarnya, aku ingin ke Universiti Yarmouk. Jadi, aku pun naik coaster ni. Tapi, rupa-rupanya coaster ini ke Amman. Apa yang perlu aku buat?" aku meluahkan masalahku kepada pemuda terbabit.
"Oh, tak mengapa. Tunggu sebentar," dia menjawab dengan tenang. Selepas itu, dia melambaikan tangan ke arah konduktor di hadapan. Konduktor itu pun meluru ke belakang.
Pemuda itu menceritakan kepada konduktor tersebut tentang aku. Kemudian, konduktor itu kembali ke bahagian hadapan, mengatakan sesuatu kepada pemandu.
Tidak lama kemudian, pemandu itu berhenti di tepi jalan. "Turun," konduktor itu memanggil aku, sambil tangannya meghulurkan satu dinar duit yang aku berikan pada awal perjalanan.
Coaster tersebut pun berlalu pergi, menyambung perjalanannya. Aku yang sesat ini masih tercengang-cengang mencari hala tuju di tengah-tengah jalan dari Irbid ke Amman.
Apa yang aku masih ingat ialah, aku diturunkan di tepi jalanraya. Di seberang jalan ada kawasan penempatan kampung yang berbukit. Di sebelah sini jalan, hanyalah tanah tandus.
"Apa yang aku nak buat ni?" bisikku sendirian.
"Mana aku nak berbuka puasa ni? Haih," bisikku lagi.
Aku ditinggalkan kira-kira 20 minit perjalanan dari Stesen Baru Amman. Aku lihat ke arah pangkal jalan. Aku tidak memikirkan perkara lain. Jalan kaki.
Aku pun memulakan langkah kakiku ke arah Stesen Baru Amman, sambil menoleh ke jalan, mengharapkan teksi atau coaster lain utuk membawa aku pulang.
Masa hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk berbuka.
Dalam keadaan yang tertekan sebegitu, menyebabkan aku terfikir, "Apa-apa hal, aku kena sms kawan serumah ni. Sekurang-kuragnya, kalau aku hilang atau pengsan, mereka tahu aku di mana."
Kira-kira setelah 15 hingga 20 minit berjalan kaki sambil bas dan teksi berlalu pergi, muncul sebuah coaster. Mujurlah coaster tersebut sudi untuk mengambil aku ke Stesen Baru Amman.
Setelah tiba di Stesen Baru Amman, aku terus menahan teksi ke rumah. Serik untuk menunggu coaster.
Apa yang pasti, benarlah pepatah Melayu, malu bertanya sesat jalan. Malah dalam Islam sendiri, bertanya itu digalakkan.
Bertanya itu kunci kepada pengetahuan.
Namun, pastikan anda tidak bertanya untuk melambat-lambatkan tugasan atau sengaja mencari alasan, seperti yang dilakukan oleh Bani Israel.
Ini pesanan saya, kita sebagai mahasiswa kelas pertama, tidak salah untuk bertanya.
Categories: isu umum, kisah musafir