Posted by warkahskrin
at 02:39 PM on September 05, 2009
|
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
Apa sebenarnya yang kita cari dalam usia kita sebagai remaja?
"Berhiburlah, apa lagi"
Mencari keseronokan itu lumrah manusia, hiburan itu salah satu caranya, tapi jangan jadikan itu sebagai matlamat kita. Sia-sia. Sekali lagi, apa yang kau cari dalam usia remaja ini?
"Em. Kalau dalam usia remaja ini, habiskan saja masa yang ada dengan kawan-kawan"
Bagaimana?
"Keluar jalan-jalan. Lepaskan tekanan"
Tak mengapa. Soalan ini, kalian jawab masing-masing. Cuma, saya ingin bawa satu persoalan, bagaimana kalau anda ditarik nyawa ketika usia muda? Sekarang ini? Berjumpakah dengan apa yang anda cari? Sebab itu, sebenarnya, apa yang kita cari itu menentukan apa yang kita usahakan. Kita usaha sedaya mampu sebab kita nak dapatkan apa yang kita cari itu.
* * * * * *
Jika anda buka radio untuk mendengar azan subuh di radio IKIM, apa yang anda dengar ialah suara Allahyarham Ustaz Asri bekas vokalis Rabbani.
Pernah pada suatu hari, terlintas di hati saya, alangkah bagusnya Ustaz Asri kerana walaupun dia sudah meninggal dunia, tapi suaranya masih diperdengarkan di corong-corong radio, meninggalkan kebaikan untuk dimanfaatkan oleh semua.
Kemudian saya terfikir, bagaimana dengan diri ini? Apa yang saya tinggalkan kalau saya pergi?
Rangkaian sosial siber
Saya tidak mahu pergi jauh. Saya mahu ambil salah satu contoh yang mudah. Rangkaian sosial siber. Saya yakin, kebanyakan daripada kita mempunyai sekurang-kurangnya satu rangkaian sosial siber sama ada Friendster, Facebook, Myspace dan pelbagai lagi yang ada kini.
Namun, apa yang kita letak di situ? Bermanfaatkah untuk orang lain?
Bagaimana, jika pada suatu hari nanti kita meninggal dunia? Tidak ada siapa pun yang tahu kata laluan akaun kita.
Kita pergi, tapi kita tinggalkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat, dan ditatap oleh orang lain.
Kita pergi, tapi kita tinggalkan muzik yang tersasar daripada nilai murni, dan didengari oleh orang lain.
Kita pergi, tapi kita tinggalkan gambar mesra kita bersama pasangan yang bukan mahram, dan ditatap oleh orang lain.
Kita pergi, tapi kita tinggalkan komen-komen cinta tidak halal di ruangan komen, dan dibaca oleh orang lain.
Kita pergi, tapi kita tidak tinggalkan manfaat untuk manusia yang masih tinggal di dunia.
Fikirkanlah.
Secara realiti, saya mempunyai rakan yang telah meninggal dunia, tapi akaunnya masih terbuka.
Jika anda mencari redha Ilahi, tinggalkanlah manfaat untuk dinikmati oleh manusia lainnya sebelum kita mati.
* * * * * *
Jadi, kembali kepada persoalan tadi, apa yang kita cari sebenarnya?
Wahai remaja, tetapkan matlamat supaya jelas apa yang kau cari, agar kau tidak menyesal setelah kau pergi.
Percayalah, andai redha Allah yang kau cari, nescaya akan kau temui ganjarannya selepas kau tinggalkan dunia ini.
Kau akan menjadi antara tujuh golongan yang mendapat naungan arasy Ilahi.
Categories: pelajar dan remaja